Tuesday, January 11, 2011

Caesarean facts - info from Harian Metro

HAYATI, 30, sedang menunggu masa untuk melahirkan anak kedua.

Berdasarkan pengalaman ketika melahirkan anak pertama, dia terpaksa menghadapi sakit bersalin yang panjang sehingga terpaksa dimasukkan ubat untuk mempercepatkan proses kelahiran.

Untuk anak kedua, disebabkan tidak mahu mengulangi trauma seperti mana kelahiran anak pertama, selepas berbincang dengan doktor Hayati terus membuat keputusan untuk melahirkan anak menerusi kaedah Caesarean.

Walaupun rakan meminta dia mencuba untuk melahirkan anak secara normal, Hayati tetap dengan keputusannya.

Seiring dengan peredaran zaman, kebanyakan wanita seperti Hayati kini lebih gemar memilih cara melahirkan anak menerusi Caesarean (pembedahan) atau dalam bahasa pasarnya dikenali sebagai kelahiran ikut tingkap.

Ini diakui Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi yang juga Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, mengenai kecenderungan wanita Malaysia terutama yang mengamalkan gaya hidup moden, lebih suka melalui proses kelahiran menerusi pembedahan atas sebab tertentu.

Menurut Dr Nor Ashikin, kelahiran normal atau sebaliknya, mempunyai kebaikan dan keburukan. Apa yang perlu diketahui wanita adalah mereka bebas membuat pilihan mengenai kelahiran yang mereka inginkan dengan syarat perlu berbincang dan mendapat nasihat pakar mengenai kesan pilihan mereka itu.

Pada masa sekarang, tiada sesiapa boleh menghalang sama ada seorang wanita itu ingin melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan atau normal kerana ini termasuk dalam hak asasi wanita.

"Sebagai doktor kami hanya boleh memberikan nasihat serta panduan mengenai kesan jangka pendek atau panjang atas setiap keputusan dibuat," jelasnya.

Walaupun bebas membuat pilihan, tambah Dr Nor Ashikin, dalam sesetengah keadaan kelahiran Caesarean adalah yang terbaik untuk ibu dan anak demi menyelamatkan nyawa kedua-duanya. Ini dilakukan pada waktu kecemasan atau secara diatur.

Antara sebabnya ialah masalah uri di bawah atau plasenta previa yang akan menyebabkan pendarahan yang banyak sekiranya kelahiran normal diteruskan, masalah uri tertanggal, rahim pecah atau penyakit kencing manis dan darah tinggi yang mengancam nyawa ibu.

Selain ibu, masalah pada bayi seperti bayi kekurangan oksigen yang boleh menyebabkan bayi lemas, uri jatuh ke bawah yang akan menyebabkan bayi meninggal di dalam perut, kedudukan songsang serta ibu yang melalui proses bersalin melebihi tempoh 16 jam kerana tempoh normal untuk kelahiran bayi antara 10 hingga 16 jam saja.

Masalah lain termasuk wanita yang mempunyai tulang punggung yang kecil hingga menyebabkan pembukaan rahim tidak dapat berlaku semasa tempoh melahirkan anak, bayi yang terlalu besar dan kedudukan bayi seperti melintang atau senget yang boleh menyebabkan koyakan terlalu besar sekiranya proses kelahiran normal diteruskan.

"Dalam keadaan ini, kelahiran Caesarean adalah terbaik buat ibu dan anak bagi memastikan kedua-duanya dalam keadaan selamat. Namun diingat menyelamatkan nyawa ibu adalah lebih penting daripada bayi dalam kandungan," katanya.

Meskipun ada wanita memilih kaedah pembedahan disebabkan kelihatan mudah dan menyenangkan, kaedah ini tetap berisiko. Namun risiko yang dialami adalah terlalu kecil misalnya masalah jahitan rahim terbuka semula mungkin berlaku antara satu dalam 200 atau satu dalam 3,000 kelahiran saja.

Dalam tempoh dua minggu, luka dalaman sudah pulih dan dalam tempoh enam bulan kawasan pembedahan sudah pulih sepenuhnya.

"Dalam tempoh tiga bulan ke atas parut luka akan menjadi lebih kuat. Justeru sekiranya seseorang itu dengan tidak sengaja hamil, ini bukan satu sebab dia patut menggugurkan kandungan.

"Sebaiknya kehamilan perlu diteruskan, lagi pun tidak semua kes pembedahan mesti diulang, ini bergantung kepada punca pembedahan yang pertama, misalnya sekiranya rongga tulang punggung sempit maka pembedahan perlu diulang," katanya
.

Ada juga pembedahan yang menyebabkan pendarahan terlalu banyak, kecuaian pihak hospital seperti terpotong bahagian tertentu, tertinggal kapas namun kemalangan sebegini sangat minimum dan jarang berlaku.

Menurut Dr Nor Ashikin, selain kelahiran yang singkat dan tidak menyakitkan, Caesarean mempunyai kebaikan iaitu satu kaedah kelahiran yang dirancang. Ini bermaksud ibu boleh memilih tarikh kelahiran dan doktor yang akan melakukan pembedahan.

"Dalam tempoh itu, ibu bapa boleh membuat persiapan daripada segi mental dan fizikal, menjalankan kajian menerusi Internet atau pembacaan mengenai kebaikan dan keburukannya. Semua persediaan ini amat perlu supaya mereka tidak menghadapi tekanan sekiranya pembedahan dijalankan pada saat-saat akhir atau terpaksa dilakukan," katanya.

Selain itu, bagi ibu yang melahirkan anak pramatang, pembedahan adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan bayi. Ini kerana ada sesetengah kes kelahiran normal menyebabkan masalah pada otak bayi.

Selain itu, Caesarean juga mengelak daripada koyakan yang besar ketika proses kelahiran malah memberi kelebihan pada ibu supaya mereka tidak mengalami kesakitan yang lama. Dalam erti kata lain, pembedahan dapat memelihara faraj wanita serta kepala bayi daripada perubahan saiz akibat vakum atau forsep.

Wanita juga boleh memilih kedah pembedahan sama ada bius secara penuh atau bius separuh badan (epidural) pada saraf belakang, pesakit hanya kebas pada perut hingga ke kaki dan masih sedar mengenai apa yang berlaku.

"Ketika dalam dewan bedah mereka yang memilih epidural boleh mendengar bayi menangis, memegang dan mencium bayi sebaik dibedah," katanya.

Daripada segi penjagaan selepas bersalin, menurutnya, bagi ibu yang melahirkan anak menerusi pembedahan jagaan sama seperti bersalin normal. Selepas dua minggu ibu dinasihatkan datang ke klinik untuk melihat perkembangan luka.

Apa yang penting dalam tempoh dua minggu pertama, badan memerlukan banyak sumber protein daripada makanan, oleh itu makanan berkhasiat dan seimbang mengandungi karbohidrat, protein, vitamin daripada sayur-sayuran dan buah-buahan adalah penting.

"Selepas dibedah ibu harus mengambil makanan berkhasiat seperti vitamin C yang mempercepatkan penyembuhan luka dalaman dan mengelak makanan menyebabkan alahan.
"Jangan sekat makanan kerana kepercayaan dan amalan budaya nenek moyang yang hanya membenarkan mengambil makanan tertentu saja. Namun makanan yang kaya minyak, lemak dan manisan mengandungi gula harus dikurangkan. Amalan bertungku dan mengurut boleh dilakukan tetapi elakkan pada bahagian perut," ujarnya.

Dr Nor Ashikin juga menolak dakwaan sesetengah wanita yang menganggap kesakitan bersalin secara Caesarean lebih berpanjangan berbanding normal. Begitu juga dengan pendapat mengenai kesan yang diterima wanita yang menjalani Caesarean berbeza dengan mereka yang bersalin normal.

"Ini tidak boleh diterima pakai kerana perkara itu bergantung kepada ketahanan wanita itu sendiri terutama dalam aspek penjagaan diri seperti pemakanan dan kesihatan," katanya.

Dalam hal ini, wanita dinasihatkan menjaga parut luka dengan baik dengan membersih dan mengeringkannya setiap kali selepas mandi. Jangan sesekali rasa takut untuk berjalan sejurus selepas pembedahan, ini kerana kebanyakan wanita takut untuk berjalan selepas bersalin secara Caesarean kerana kesakitan yang dirasai.

"Namun, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam jam selepas bersalin, mereka perlu berjalan atau menggerakkan bahagian badan bagi mengelak terjadi darah beku dalam darah. Dengan bergerak, ini akan membantu merangsang perjalanan darah dalam badan.

"Di samping itu, mereka juga boleh melakukan senaman ringan selepas dua minggu dan hanya boleh melakukan aktiviti seperti bersukan, bermain badminton atau berjoging selepas dua bulan. Wanita yang bersalin secara Caesarean turut digalakkan menyusukan bayi dengan susu badan bagi membantu mengecutkan rahim," katanya.

Selain penjagaan selepas bersalin yang dikatakan agak rumit, ramai wanita beranggapan dan takut melakukan pembedahan kerana faktor bilangan anak yang terhad kepada tiga saja.

Menurutnya, sebenarnya Caesarean tidak terhad kepada tiga anak saja. Sekiranya pesakit itu sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit merbahaya seperti sakit jantung, buah pinggang atau kanser payudara mereka boleh menjalani pembedahan banyak kali. Mungkin sehingga empat atau enam kali bergantung kepada kemampuan kesihatan ibu, mental dan kehendak pesakit itu sendiri.


"Tidak perlu sehingga mengikat saluran peranakan hanya selepas tiga kali dibedah sedangkan usia masih muda dan masih mampu mengandung. Kini terdapat pelbagai jenis kaedah perancang keluarga yang boleh digunakan seperti pil perancang, implan, suntikan atau IUD," jelasnya.

Walau apa sekalipun pilihan untuk melahirkan anak, wanita harus mempertimbangkan beberapa perkara seperti kesihatan ibu, sokongan suami dan keluarga serta sumber kewangan pasangan. Ini kerana kini, melahirkan anak memerlukan kos yang tinggi terutama bagi pasangan yang memilih untuk melahirkan anak di hospital swasta.


Note: Terasa lega and positif nak melahirkan anak secara normal utk yg ketiga ni. Last 2 weeks jumpa doc, doc pun kata tak perlu risau sbb Insyirah lahir normal, Imran pula hanya sbb poor in progress and bukan sbb complication diabetic, darah tinggi or songsang. High possibility yg no 3 ni pun akan normal jugak.

Apa pun, sekarang ni saya sentiasa berdoa kelahiran yg no 3 ni dipermudahkan. Lesson learnt from Imran's experience, DO NOT TAKE THINGS FOR GRANTED. Dulu ingatkan Insyirah lahir mudah dan ambil masa 4 jam jek, so anticipate Imran mungkin lagi mudahlah, mmg kurang berdoa sket time Imran. This time around, setiap masa berdoa! :D

4 comments:

Farra said...

bagus la entry ko ni siti..aku suke sgt , peringatan buat kita kan

tp nota kaki ko tu mcm tak simpulkan entry ko..enrty ko kata, lahir c-sect ok jek..ehehhe

IeNa said...

Personally, aku lebih suka bersalin normal, so tak dpt ler nak conclude c-sect tu ok, cuma kalau dah tak boleh nak elak, nak buat mcm mana, redah jerlah.

Cuma, kita selalu ditakutkan dgn kata2 org tanpa scientific evidence. So let's find out the truth fact sebelum kita decide nak rasa and nak buat apa utk sesuatu. Cthnya aku sebelum tahu statement dr doc, asyik rasa mcm takut jek utk yg third pregnancy, sdgkan sebenarnya rasa takut tu tak berasas langsung bila kita dah tau the truth fact.

So sekarang ni, baru ada rasa full confidence and boleh appreciate the fact yg i am now carrying a new baby, and i don't have to be worry for something that should not be worried so much any longer.

:)

IeNa said...

Tambahan:

DOA dan TAWAKKAL to ALLAH itu juga sgt PENTING!

and one more:

Don't Take Things for Granted!

Do learn from my mistake k :)

Farra said...

Ok insyallah :)