Thursday, September 29, 2005

Dr Unvar

Profesor UIA meninggal akibat denggi -Utusan Malaysia, 29.09.2005


KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sehari selepas kerajaan mengisytiharkan tahap kritikal kes demam denggi di tiga buah negeri, seorang lagi mangsa meninggal dunia hari ini.


Timbalan Dekan Kuliyyah Ekonomi dan Pengurusan Sains Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Madya Dr. Unvar Rahman Abdul Muthalib, 47,meninggal dunia pukul 1.35 petang di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL)selepas lebih dua minggu menderita demam tersebut.


Sepupu Allahyarham, Mohammed Mosin Abdul Razak, 42, memberitahu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan keluarga terdekatnya di HKL.


Katanya, Unvar Rahman sebelum itu dibawa ke sebuah pusat rawatan swasta di sini pada 14 September lalu sebelum disahkan oleh pusat tersebut menghidap denggi dua hari kemudian.


``Beliau sebelum itu mendapatkan rawatan biasa di klinik universiti dan tidak menjangka sama sekali akan terkena denggi kerana dapat bertugas di pejabat seperti biasa selepas itu.


``Tapi semuanya tiba-tiba berubah apabila beliau hilang selera makan dan demam teruk, jadi kami bawanya ke pusat rawatan tersebut dan doktor mengesahkan Allahyarham terkena denggi,'' katanya ketika ditemui selepas solat jenazah, di sini hari ini.


Katanya, Allahyarham kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)pusat rawatan tersebut Sabtu lalu, sebelum dikejarkan ke HKL bagi mendapatkan rawatan kecemasan pada pukul 2.30 petang semalam.


Mohammed Mosin memberitahu, pada peringkat awal rawatan di pusat rawatan tersebut, Allahyarham seolah-olah kembali sihat dan boleh berinteraksi seperti biasa dengan ahli keluarganya.


Bagaimanapun katanya, bapa kepada empat anak itu tiba-tiba tenat pada pukul 9.30 malam Sabtu lalu sehingga menyebabkan beliau tidak dapat bernafas sebelum dimasukkan ke ICU pusat rawatan tersebut.


``Selepas beberapa hari menerima rawatan di ICU, beliau terkena demam kuning dan dipindahkan ke HKL, sebelum meninggal dunia hari ini,''


Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ibu Kota, Danau Kota dekat sini kira-kira pukul 7.20 malam.


Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rukhsana Begham, 47, dan empat orang anak.


Kerajaan semalam mengambil langkah drastik dengan mengisytiharkan kes demam denggi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor berada pada tahap kritikal.


Sehingga Sabtu lalu sebanyak 27,569 kes demam itu dicatatkan di seluruh negara berbanding 21,786 kes dalam tempoh sama tahun lepas.


Ini berikutan jumlah kematian akibat wabak itu semakin meningkat kepada 70 orang tahun ini berbanding 68 dalam tempoh yang sama sepanjang tahun lalu.


Ahad lalu, Pulau Pinang mencatatkan satu lagi kes denggi berdarah melibatkan seorang wanita sarat mengandung yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).


Mangsa, Fairuz Aziz, 25, dari Taman Sahabat, Teluk Kumbar yang hamil kembar sulung berusia tujuh bulan meninggal dunia menjadikan korban wabak itu meningkat kepada empat kes.


Pada 17 September lalu, seorang peniaga kraftangan, Siti Fauziah Jamaludin, 46, dari Bukit Gelugor di sini meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP diikuti seorang lelaki berusia 21 tahun dari Kampung Binjal, Bayan Lepas.

No comments: